Dijangkiti Covid-19 setelah terima 2 dos suntikan, ini penjelasan CPRC KKM

0
2

SESEORANG individu masih boleh dijangkiti virus SARS-CoV-2 atau Covid-19 selepas mengambil vaksin, tetapi tahap keterukan penyakit dapat dikurangkan dan mengelak kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kematian.

Perkara itu ditegaskan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebooknya.

Hantaran itu dibuat susulan laporan berita yang dipetik daripada kenyataan dalam media sosial KKM, menyebabkan ramai yang mula mempersoalkan “apa gunanya untuk mengambil vaksin sekiranya masih boleh dijangkiti Covid-19 selepas vaksinasi?”.

Menurut penjelasan CPRC KKM, selepas dos pertama vaksin, tubuh akan mula menghasilkan antibodi dan selepas dos kedua, tahap antibodi tersebut meningkat lebih tinggi.

Mengikut data KKM, katanya, lebih ramai kakitangan KKM yang dijangkiti selepas dos pertama (142 orang) sebelum penerimaan dos kedua, berbanding dengan selepas dos kedua (40 orang).

“Selain itu, secara amnya untuk apa-apa jenis vaksin, imuniti hanya tercapai lebih kurang dua minggu selepas suntikan dos kedua.

“Daripada 40 kakitangan KKM yang dijangkiti Covid-19 setelah lengkap mengambil dua dos suntikan, 31 kes dijangkiti kurang dari dua minggu (sebelum imuniti tercapai) berbanding sembilan kes dijangkiti lebih dari dua minggu selepas dos kedua.

“Apa yang lebih penting adalah tiada sebarang kes yang mengalami gejala teruk,” tulis hantaran tersebut.

CPRC KKM turut memberitahu kajian keberkesanan vaksin dalam komuniti setakat ini mendapati vaksin memberi perlindungan berikut kepada individu yang telah divaksinasi:

1) Perlindungan terhadap penyakit COVID-19 yang teruk – hampir 100%
2) Perlindungan daripada dijangkiti – 64 – 94%
3) Perlindungan daripada menjangkiti orang lain – 54%

“Menurut laporan US CDC pada 13 April 2021, daripada 75 juta orang yang lengkap vaksinasi di negara tersebut, lebih kurang 5,800 orang telah dijangkiti Covid-19 (0.008%).

“Kebanyakannnya tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja,” katanya lagi.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan seramai 40 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 31 kes dilaporkan dijangkiti kurang dua minggu selepas mendapat dos kedua vaksin Covid-19 manakala sembilan kes selebihnya dijangkiti selepas dua minggu melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Dr Noor Hisham berkata seramai 142 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas menerima dos pertama vaksin namun kesemua mereka yang dijangkiti tidak mempunyai simptom yang teruk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here