Polis siasat iklan judi Aidilftri terbaharu, buru individu terlibat

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan berhubung kewujudan klip iklan lain mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian berkonsepkan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya sudah mengambil maklum mengenai kemunculan iklan seumpama itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kami sudah maklum mengenainya (kemunculan klip video) dan sedang mengesan mereka yang terbabit.

“Saya mengarahkan pegawai untuk mengesan jika ada lagi klip video lain yang serupa,” katanya seperti dilaporkan PNBBC.

Beliau diminta mengulas klip video berjudul IBC003 ‘Hari Raya Berkaya’ yang menonjolkan iklan perjudian melalui konsep sama seperti klip video GDBet333 yang tular semalam.

Acryl Sani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kemunculan klip video terbabit adalah trend terbaharu digunakan sindiket bagi mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang terlibat dalam apa juga video berkaitan promosi judi Hari Raya; sama ada video itu sudah disebar atau tidak, segera menyerah diri.

Terdahulu, tular satu lagi klip video iklan hari raya yang mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian membabitkan pelakon beragama Islam.

Kemunculan iklan dalam bentuk klip video berdurasi 3 minit 19 saat itu, bertajuk IBC003 ‘Hari Raya Berkaya’ memaparkan watak lelaki yang berada di kawasan lain dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal untuk meraikan hari raya.

Dalam iklan terbabit, dia pada awalnya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada wanita dipercayai isterinya bertanyakan bila dia akan pulang ke rumah kerana hari raya hampir tiba dan mereka perlu melakukan persiapan meraikannya.

Berdasarkan klip video itu, iklan terbabit dipercayai dikeluarkan sebuah syarikat judi dalam talian, mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatannya untuk meraih wang berganda.

Antara bait lirik dalam iklan terbabit: “Oh diri sedang mencuba di IBC003, aku pun mahu juga IBC003, manalah tahu berjaya, hari raya kita kaya, bersama kita raikan, bila ada kemenangan IBC003, hari raya bahagia.”

Hasil carian di laman berkenaan hari ini, mendapati iklan asal terbabit dipercayai sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

Namun, terdapat bebeberapa individu sempat memuat naik semula klip video berkenaan di laman sosial menyebabkannya sehingga kini ia masih boleh ditonton. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here