Harga barang naik: Kenapa kerajaan perlu nafi? – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hairan semakan harga barangan terkawal di aplikasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) naik namun ia dinafikan kerajaan.

Najib berkata, beliau membangkitkan isu ini selepas orang ramai memintanya berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan penafian Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu.

Justeru, katanya, beliau menyemak harga-harga barangan yang didakwa naik seperti ikan kembung, ayam dan daging dengan menggunakan aplikasi KPDNHEP.

“Harga ikan kembung sehingga RM24 satu kilogram (kg), harga ayam setinggi RM12 satu kg dan harga daging cecah RM40 satu kg. Harga-harga ini tak tinggi ke?

“Harga ini dari aplikasi kementerian sendiri. Jadi, kenapa pula kerajaan PN nak menafi?,” katanya menerusi Facebook.

Beliau mengakui kebiasaan harga barang akan naik sebelum sambutan perayaan, namun ia tidaklah setinggi itu terutama ketika rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

“Akibatnya, rakyat yang paling terkesan dengan kenaikan mendadak harga barang pada ketika pendapatan serta ekonomi belum memulih, kadar pengangguran masih tinggi dan penularan Covid semakin mengganas semula.

“Seakan-akan ekonomi Malaysia sudah jatuh ke kategori ‘stagflation’ pada ketika ini – iaitu keadaan ekonomi yang paling tidak diingini bagi mana-mana negara,” ujarnya.

“‘Stagflation’ bermaksud Inflasi tinggi yang berterusan digabungkan dengan pengangguran yang tinggi dan permintaan yang tidak stabil dalam ekonomi negara.”katanya.

Terdahulu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan khabar angin mengatakan harga ayam akan dinaikkan sehingga RM10 sekilogram berikutan permintaan tinggi ketika Ramadan.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana terdapat laporan daripada penguat kuasa mengenai kenaikan harga ayam, tetapi tidak sampai tahap RM10 untuk 1kg.

“Harga ayam itu ada kenaikan sedikit, namun masih dalam kawalan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/harga-ayam-hampiri-rm10-sekilogram-kpdnhep-perlu-ambil-tindakan-serius/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here