BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui serba salah untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata beliau mungkin akan bertanding semula pada PRU15 nanti sekiranya menerima banyak permintaan daripada penyokong.
Bagaimanapun, katanya, beliau berasa serba salah ketika ini untuk bertanding semula kerana telah membuat keputusan tidak mahu bertanding lagi.
“Saya serba salah, saya tidak mahu bertanding tetapi orang asyik menekan saya. Macam hari itu juga, saya tidak mahu bertanding tetapi orang menekan saya supaya bertanding juga.
“Jadi jikalau dia tekan kuat sangat, mungkinlah. Jikalau tidak berapa kuat, saya tidak bertandinglah. Jikalau orang datang berduyun-duyung di rumah, hari itu pun macam itu juga,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dr Mahathir berkata, ada beberapa rombongan datang bertemu dan meminta beliau melakukan sesuatu selepas seminggu beliau meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak berhasrat bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut tempoh penggal semasa memandangkan usianya telah mencecah 98 tahun ketika itu.
Pada awal Oktober, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu memberi gambaran berkemungkinan bertanding PRU akan datang sekiranya penyokongnya tidak bersetuju beliau bersara.
Dr Mahathir berkata, hasrat beliau tidak bertanding PRU15 sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokongnya. -Malaysiapost

