BELUMPUN reda kemahrahan umat Islam terhadap iklan judi dalam talian oleh Gbet333 semalam, kini tular pula video sama dipercayai membabitkan syarikat perjudian lain.

Video iklan Aidilfitri berdurasi 3 minit 19 saat itu dikeluarkan oleh syarikat IBC003, yang menggalakkan umat Islam menggunakan perkhidmatan judi untuk meraih wang berganda bagi menyambut lebaran.
Menggunakan konsep yang sama seperti iklan Gbet333, video bertajuk ‘IBC003 Hari Raya Berkaya’ itu juga menggunakan khidmat pelakon beragama Islam yang lengkap berbaju kurung dan Melayu, dengan berlatarbelakangkan suasana Aidilfitri.
Antara bait lirik dalam video iklan berkenaan:
“Bersama kita raikan bila ada kemenangan IBC003, hari raya bahagia.
“Aku juga pun mau IBC003 juga, manalah tau berjaya, Hari Raya kita kaya.”
Difahamkan, video iklan judi online terbaharu itu tular di laman sosial Facebook dan Youtube sejak pagi tadi, menambah lagi kemarahan umat Islam.
Malah, pengguna media sosial menyifatkan syarikat perjudian di Malaysia semakin melampau kerana terbuka menghina kesucian Islam dan bulan Ramadan.
Hariz Yusof meninggal komen meminta semua yang terlibat ini ditangkap.
“Kasi raya di lokap je semua yang terlibat,” katanya.
Sementara, Zain Azraii Abd Manaf, meminta pengguna media sosial terutama umat Islam supaya tidak berkongsi iklan berkenaan di mana-mana platform.
“Jangan share, target dia memang nak orang share benda-benda ni. Seorang share boleh beribu orang tengok, kalau beribu share dah dapatlah target mereka. Kalau boleh block,” katanya.
Semalam, tular video iklan berjudul ‘GDBet333 Hari Raya’ yang mempromosi umat Islam menggunakan perkhidmatan judi dalam talian untuk mendapatkan wang untuk pulang beraya.
Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumka lapan individu yang terbabit dalam pembikinan iklan raya mempromosikan judi dalam talian ditahan semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, individu yang ditahan adalah lima lelaki dan tiga wanita dipercayai pelakon, ejen artis, jurukamera, dan produser video berkenaan.
“Semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video berkenaan yang diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat pada 13 Mac.
“Setakat ini, polis menerima 38 laporan polis yang dibuat berkaitan dengan video berkenaan susulan daripada siasatan dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

