AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa rakyat kini kecewa dengan Perikatan Nasional (PN) yang gagal memulihkan ekonomi dan memerangi Covid-19.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu, berkata ia terbukti di mana dalam tempoh 24 jam tanda pagar #KerajaanGagal kini sudah menjadi trending nombor satu di laman Twitter.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan rakyat kecewa dengan cara PN memulih ekonomi dan memerangi Covid-19.
“Frontliners (petugas barisan hadapan) telah bertungkus lumus selama setahun. Sudah tentu bukan salah mereka. Mereka bertugas sehingga tinggal anak isteri.
“Sebab itu perancangan dan dasar kerajaan yang lemah dan tidak konsisten jadi sasaran kritikan rakyat di media sosial,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Puad berkata, prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah isu utama kerajaan dikritik hebat oleh nitizen.
“SOP berat sebelah, layanan berbeza termasuk kuat kuasa yang tidak tegas. Kerajaan pernah disarankan supaya teruskan PKP yang ketat untuk tempoh tertentu. Biar virus terputus. Susah dulu, senang kemudian.
“Begitu juga kerajaan disarankan supaya kilang kilang dihadkan operasinya kerana kluster tempat kerja jadi penyumbang besar kenaikan kes Covid.
“Tetapi kerajaan beri banyak kelonggaran atas alasan ekonomi. Kerajaan gagal melakukan keseimbangan antara pemulihan ekonomi dengan dasar memerangi Covid-19 yang ketat,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan vaccine tracker (pengesan vaksin) Bloomberg, kadar vakinasi di Malaysia ialah 26,524 dos setiap hari.
“Ini bermakna Malaysia perlu 4.9 tahun untuk capai tahap 75 peratus penduduknya diberi vaksin. Indonesia perlu 3.3 tahun.
“Mohon KJ (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin) cepatkan vakinasi bukan cepatkan pemilihan Umno,” sindirnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/trending-di-twitter-kerajaangagal-adakah-rakyat-sedang-marah/

