Reezal Merican bidas sekolah tetapkan sukan ikut kaum

0
1

MENTERIA Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kesal dengan tindakan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor yang menetapkan syarat penyertaan pelajar dalam kegiatan ko-kurikulum mengikut kaum.

Reezal Merican berkata, sukan sepatutnya tidak bersifat perkauman, melangkaui sempadan budaya dan menjadi ejen perpaduan dan tindakan sekolah terbabit adalah tidak wajar dan terkebelakang.

“Tiada polisi atau pendekatan sebegini dalam Dasar Sukan. Kita mahu pendemokrasian sukan bermula di sekolah,” ciapnya di Twitter, hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata demikian membalas ciapan pengguna Twitter @sharwinsubra05 yang mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor itu.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat, pengguna Twitter itu telah berkongsikan sekeping gambar yang menunjukkan surat senarai pendaftaran aktiviti kokurikulum dan sukan bagi pelajar tingkatan satu yang didakwa terbuka kepada satu kaum sahaja.

“Bukankah Malaysia sebuah negara berbilang kaum? Kementerian Pendidikan sila ambil tindakan sewajarnya. Beri keutamaan kepada bakat dan bukannya kaum,” ciapnya.

Menurut surat itu, sekolah berkenaaan menetapkan syarat penyertaan bola sepak dan sepak takraw adalah untuk pelajar lelaki Melayu sahaja, bola jaring (pelajar perempuan Melayu) serta bola keranjang dan ping pong untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here