SYARIKAT judi buat iklan raya! Ya itu yang berlaku selepas tular klip video iklan raya berdurasi 2.48 minit di media sosial sejak malam tadi.
Klip video oleh syarikat judi GDBet333 tersebut memaparkan pelakon lelaki memakai baju Melayu dan perempuan muslim yang bertudung dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri.
Video tersebut memaparkan seorang lelaki kelihatan sugul kerana tidak dapat pulang beraya ke kampung disebabkan tiada wang.
Namun nasib pemuda itu berubah setelah mencuba nasib menerusi web syarikat perjudian itu.
Antara lirik pada lagu dalam video klip berkenaan adalah:
“Nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, GDBet333 ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasib mu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya.”
Menerusi satu perkongsian di akaun Facebook Syed Abdul Rahman, beliau berkata di saat umat Islam di Malaysia masih belum reda dengan kemarahan berkait isu majikan majikan bukan Islam menyekat pekerja dari berpuasa, datang pula skrip lakonan yang menambahkan lagi garam ke dalam luka yang tersedia.
“Apa sebenarnya yang dimahukan oleh tauke judi #GDBET333? Atau ini merupakan signal perang dari anda dan kroni kepada umat Islam?
“Mempertaruhkan wanita bertudung sebagai salah seorang pelakon dalam iklan judi ini merupakan penghinaan terbesar kepada umat Islam. Jangan dicabar umat Islam, jangan cuba cetuskan provokasi yang mengundang perbalahan,” tulisnya.
Beliau juga meminta Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada seluruh agensi yang terlibat dengan GDBet333 samada laman web, syarikat, individu dan lain-lain. – Malaysiapost

