BUAT pertama kali selepas 40 tahun, solat Jumaat diadakan semula di Masjid Kampung Sembulan, di sini, bermula pada 6 Januari 2017, sekali gus mengembalikan nostalgia fungsinya sebagai masjid tumpuan bagi bandar raya Kota Kinabalu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sembulan, Nordin Palah, 53, berkata solat Jumaat ditiadakan selepas pembukaan Masjid Negeri Sabah pada 1977 berikutan faktor jarak antara dua masjid itu yang dekat, iaitu kira-kira 500 meter.
Ketika itu, katanya, ada pendapat mengatakan solat Jumaat jika diteruskan di Masjid Kampung Sembulan, dikhuatiri melanggar syarak kerana tidak dibenarkan mengadakan dua solat Jumaat di kampung sama kerana Masjid Negeri Sabah juga terletak di Kampung Sembulan.
“Apabila Masjid Negeri Sabah dibuka, semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kampung Sembulan termasuk pengerusinya berpindah dan menjadi AJK Masjid Negeri menyebabkan masjid ini ditinggalkan tanpa jawatankuasa pengurusan.
“Bagaimanapun, peningkatan jemaah hingga menyebabkan ruang di Masjid Negeri Sabah menjadi sangat sesak terutama ketika solat Jumaat, menyebabkan timbul cadangan mengadakan semula solat Jumaat di Masjid Kampung Sembulan,” katanya.

Nordin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah sejak 1980-an, namun tidak diluluskan sehinggalah satu permohonan baharu dikemukakan awal tahun lalu dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Pertama, pihak kami menjelaskan Masjid Kampung Sembulan terletak di Kampung Sembulan Lama, manakala Masjid Negeri Sabah di Kampung Sembulan Baru, jadi ia tidak melanggar syarak berkaitan larangan mengadakan dua solat Jumaat di kampung sama.
“Kedua, Masjid Negeri Sabah terlalu sesak dan ada keperluan mewujudkan lokasi baharu untuk kemudahan umat Islam bersembahyang khususnya solat Jumaat dan Masjid Kampung Sembulan dikenal pasti sebagai penyelesaiannya.
“Maka, kami menghantar surat kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk memohon agar solat Jumaat dibenarkan di masjid ini pada awal tahun lalu sebelum mendapat jawapan menggembirakan pada Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata, selepas menerima surat kelulusan untuk mengadakan solat Jumaat, pihaknya menetapkan solat Jumaat pertama pada 6 Januari lalu dengan diimamkan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Hamdani Omar.
Mengimbau nostalgia lama masjid berkenaan, Nordin berkata, Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah antara pemimpin negara yang pernah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sembulan.

“Beliau datang ke masjid ini pada Ogos 1964, ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bukan itu saja, jaguh tinju dunia, Muhammad Ali dijadualkan datang ke masjid ini ketika kunjungannya ke Sabah pada 1975 tetapi dibatalkan saat akhir.
“Sebenarnya, ramai umat Islam termasuk penduduk Kampung Sembulan dan pemimpin serta kenamaan negeri menyimpan nostalgia pernah bersembahyang Jumaat di masjid ini, antaranya Yang di-Pertua Negeri Sabah sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
“Begitu juga bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah, malah beliau sering datang solat di sini. Beliau juga antara yang hadir ketika solat Jumaat pertama pada 6 Januari lalu selain Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd Ariffin Arif,” katanya.
Tun Juhar turut hadir menunaikan solat Jumaat di masjid itu pada 13 Januari lalu bersama kira-kira 1,000 jemaah, kebanyakannya penduduk Kampung Sembulan dari jauh dan dekat yang teruja dapat menunaikan semula solat Jumaat di situ selepas 40 tahun.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sembulan, Damin Ismail, 64, berkata sebelum pembukaan Masjid Negeri Sabah sekarang, Masjid Kampung Sembulan pernah menjadi lokasi tilawah al-Quran peringkat negeri, selain pusat persinggahan jemaah haji.
“Ketika itu, iaitu sekitar 1950-an dan 1960-an, belum ada Tabung Haji (TH) atau pusat penginapan yang boleh digunakan untuk bakal jemaah dari seluruh Sabah sementara menunggu jadual pelayaran kapal ke tanah suci.
“Jadi, pengurusan masjid pada masa itu menyediakan sebuah rumah wakaf dan di situlah bakal jemaah haji Sabah berkumpul dan menginap serta melakukan aktiviti agama di masjid ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keadaan Masjid Kampung Sembulan ketika ini agak sempit, Jawatankuasa Masjid berusaha memastikan kemudahan untuk pengunjung disediakan sebaik mungkin untuk keselesaan mereka beribadah.

Sebelum pembukaan Masjid Negeri Sabah di Sembulan pada tahun 1977, sebuah masjid di Kampung Sembulan Lama, di sini, pernah berfungsi sebagai masjid negeri pertama bagi Sabah dan pusat dakwah di bandar raya ini.
Dikenali sebagai Masjid Kampung Sembulan, sejarahnya bermula kira-kira 70 tahun lalu menerusi pembinaan masjid kayu dengan kapasiti kira-kira 350 jemaah atas sebidang tanah pemberian kerajaan British kepada masyarakat Islam di kampung berkenaan.
Geran tanah bertarikh 9 Jun 1956 untuk tapak masjid seluas 0.18 hektar diserahkan kepada Ketua Daerah Jesselton (Kota Kinabalu) dan Orang Tua (Ketua Kampung) Sembulan ketika itu sebagai pemegang amanah yang kini diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid.

Ketika itu, iaitu sekitar 1950-an hingga 1977, hanya masjid berkenaan selain Masjid Kampung Likas, lapan kilometer dari sini, tempat umat Islam di sekitar bandar raya ini mengerjakan solat Jumaat.
Dengan kedudukannya hanya dua kilometer dari pusat bandar, Masjid Kampung Sembulan menjadi tumpuan bukan saja penduduk sekitar bandar raya, malah pemimpin negeri dan negara yang berkunjung ke Kota Kinabalu ketika itu untuk singgah menunaikan solat. – Malaysiapost
Sumber: Berita Harian

