AHLI Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu kenaikan harga ayam yang mencecah RM9.50 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini.
Menurutnya, harga daging ayam dikatakan bakal meningkat sehingga RM10 sekilogram, lantas menyebabkan kekecohan selepas orang ramai tidak berpuas hati dengan kenaikan tersebut.
“Apa yang mengejutkan adalah kenaikan itu berlaku lima kali dalam tempoh dua minggu.
“Sebelum ini daging ayam dijual pada harga RM7 lalu meningkat sedikit demi sedikit iaitu RM8, RM8.50 dan RM9 sekilogram sejak Jumaat lalu.
“Malah, jangkaan mengatakan harga itu akan dinaikkan RM9.50 pada hari ini dan jangkaan seterusnya adalah RM10. Apa yang mahu terjadi lagi selepas ini?
“Jika harga terus dinaikkan bagaimana persiapan masyarakat untuk merai lebaran pada bulan hadapan?,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau meminta KPDNHEP menyiasat perkara ini supaya pembeli tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan yang terkawal ini.
Katanya, kerajaan perlu bertindak segera terutama ketika ekonomi rakyat amat menekan.
“Kita harus sedar situasi semasa memperlihatkan ekonomi negara tidak begitu baik dengan kadar pengangguran tinggi.
“Rakyat kekurangan wang dan mereka wajar dibantu. Saya berharap isu daging ayam dapat ditangani cepat dan masalah ini tidaklah begitu serius seperti masalah politik,” katanya.
Menerusi laporan media semalam, harga ayam di Kuala Terangganu terus meningkat secara mendadak sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna pada hari pertama Ramadan semalam.
Di Pasar Besar Kedai Payang, rata-ratanya peniaga menjual ayam pada harga antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram.
Di Georgetown, kebanyakan peniaga ayam di pasar awam negeri ini juga mula resah dengan kenaikan harga 30 sen bagi sekilogram ayam.
Ketika ini, sekilogram ayam dijual pada harga RM9.50 hingga RM9.80 di pasar-pasar awam berbanding RM9 sebelum ini. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan

