Varian Afrika Selatan: KJ cadang kaji semula kelonggaran termasuk bazar Ramadan

0
2
Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin melawat Pusat Penerima Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil pada hari pertama PPV dibuka di sini hari ini.

BEBERAPA kelonggaran diberikan kerajaan ketika ini termasuk pembukaan bazar Ramadan perlu dikaji semula susulan pengesanan 17 kes membabitkan varian Afrika Selatan B.1.351 di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata varian itu dikatakan lebih mudah tersebar dan mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata situasi itu boleh mewujudkan risiko berlakunya gelombang keempat kes positif Covid-19 di negara ini.

“Apa yang membimbangkan beberapa vaksin yang ada tidak efektif untuk melawan varian terbabit, sekali gus memberi kesan kepada PICK yang dilaksanakan.

“Ini pandangan saya, tapi kita patut mengkaji semula beberapa kelonggaran diberikan kerana apabila varian ini tersebar, beberapa vaksin tidak efektif melawannya dan kadar penularan akan meningkat.

“Gelombang keempat mungkin akan lebih teruk. Kita tengok minggu lalu kita hampir berjaya menurunkan gelombang ketiga namun beberapa hari lalu ia meningkat semula, saya bimbang ini akan beri kesan kepada PICK,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata kepada media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 17 kes positif Covid-19 jangkitan tempatan yang dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351.

Varian terbabit dikatakan ditemui pada dua kakitangan syarikat yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hasil saringan kontak rapat.

Khairy berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu meneliti semula kelonggaran diberikan kepada orang ramai termasuk berkaitan bazar Ramadan.

“Kita tidak boleh salahkan orang ramai kerana mereka memang nak ke bazar Ramadan, tapi yang jelas sukar kekalkan penjarakan fizikal, walaupun penguatkuasaan dilakukan.

“Mereka akan berdekatan dengan orang lain, saya rasa kita perlu melihat perkara ini dengan serius,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/bazar-aidilfitri-jalan-tar-dbkl-minta-pengunjung-patuh-sop/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here