KERAJAAN digesa untuk menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan, berkata langkah itu perlu dilaksana segera berikutan trend peningkatan Covid-19 dengan kadar Ro jangkitan melebihi 1.0.
Beliau berkata, pihaknya berharap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengulangi kesilapan PKP 2.0 yang separuh masak, sehingga menyebabkan usaha mengekang penularan Covid-19 gagal.
“PKP separuh masa masak dengan kelonggaran bagi kilang-kilang, pusat beli belah, kedai-kedai emas dan sebagainya. Akibatnya, PKP2.0 gagal mencapai objektif apabila kes harian masih berlegar antara 1,000 hingga 2,000 sehari.
“Pada masa yang sama, Menteri-Menteri banyak melanggar SOP PKP atau PKPB dengan memperhebat penganjuran majlis-majlis besar dan tidak penting seperti ‘fun ride’ basikal. Akibatnya, rakyat turut mengambil mudah untuk patuh kepada SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, SOP perlu dilaksanakan tanpa mengikut pangkat dan darjat, antara kayangan dan marhaen.
“Amat memilukan apabila PKP yang dilaksanakan bakal memberi kesan lebih mendalam kepada rakyat marhaen golongan B40.
“Kluster kayangan tidak perlu berfikir tentang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Rakyat marhaen yang kini terpaksa ‘kais pagi dan petang’ hanya untuk sesuap nasi makan malam sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mengikut Fasa 1 Program Vaksinasi, sejumlah besar pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Negeri sudah diberikan dua dos vaksin Covid-19.
Katanya, seharusnya, pemimpin kerajaan juga patuh SOP, walaupun sudah divaksin.
“Mungkin parlimen juga sudah boleh dibuka semula kerana semuanya sudah divaksin,” katanya.
Malah, Shahir berkata, prestasi vaksinasi Covid-19 di Malaysia amat perlahan jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura dan Indonesia.
Katanya, pada masa yang sama, Malaysia juga terkebelakang jika dibandingkan dengan negara luar seperti Bangladesh dan India.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri bertanggungjawab umpama melepaskan batuk di tangga apabila menyalahkan kelembapan penerimaan vaksin.
“Serta monopoli negara maju sebagai penyebab kadar vaksinasi negara kita perlahan, iaitu hanya 1.88% sahaja yang telah divaksin daripada jumlah keseluruhan penduduk negara kita.
“Persoalannya, adakah Bangladesh setaraf dengan negara maju yang lain berbanding Malaysia?,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/17/pkp-kerajaan-pn-perlu-serius-perketat-semula-sop-najib/

