2 pelajar Malaysia terpilih ke Harvard, Agong ucap tahniah

0
1

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah atas kecemerlangan dua pelajar muda Malaysia sehingga dipilih dan diterima masuk ke Kolej Harvard di Amerika Syarikat, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang terkemuka di dunia.

Menerusi kenyatan di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pencapaian cemerlang anak kelahiran Kuantan, Muhammad Hamdi bin Ahmad Hakimi, dan Jarell Cheong Tze dari Kuala Lumpur, sekali gus menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Muhammad Hamdi dan Jarell bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025, yang mana masing-masing merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi dan Matematik.

“Kedua-dua pelajar ini, yang turut menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, antara 1,968 pelajar yang terpilih dan melepasi tahap kelayakan ketat ditetapkan dari sejumlah 57,435 permohonan dari seluruh dunia,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kejayaan kedua-dua belia tersebut sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

Kenyataan itu juga menyifatkan ia turut membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Hamdi dan Jarell serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan,” ujar kenyataan itu.

Kedua-dua pelajar cemerlang itu adalah produk sistem pendidikan kebangsaan dengan Muhammad Hamdi lulusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah sebelum beralih ke A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar sebagai Cendikiawan Bank Negara Kijang.

Jarrell menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan A-Level di Sekolah Menengah Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Sunway College, Petaling Jaya.

Selain kehebatan dalam bidang akademik, Jarell mewakili Malaysia dalam Sukan Sea Dancesport, bertanding di bawah bendera Malaysia di Olimpik Matematik Pasifik Asia dan kejohanan catur antarabangsa.

Sementara itu, Muhammad Hamdi merupakan pendebat yang juga memberi tuisyen kepada pelajar sekolah menengah.

Beliau lebih berfalsafah, membincangkan pandangan dunia dan pendapatnya mengenai isu masa kini. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/04/11/legenda-penembak-meninggal-dunia-agong-dan-permaisuri-zahir-ucapan-takziah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here