Kerajaan tak bercadang laksana PKP lagi

0
1

KERAJAAN tidak berhasrat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kali ketiga.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada persatuan dan dewan-dewan perniagaan pada satu majlis anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di ibu negara hari ini.

Muhyiddin berkata pemain industri bagaimanapun perlu terus memastikan pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP), terutama yang melibatkan kemudahan tempat tinggal pekerja.

“Tolong terus sediakan kemudahan selamat dan sesuai yang akan membantu memastikan tiada kesesakan dan mempertingkatkan kebersihan tempat tinggal pekerja, yang akan membantu mengurangkan risiko penyebaran virus.

“Ini juga peringatan bahawa kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula PKP.

“Bagaimanapun PKP bersasar akan dilaksana di tempat tertentu yang berpotensi mencetuskan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kes harian Covid-19 dalam negara kekal mencatat angka di bawah 2,000 beberapa minggu lalu, namun semakin meningkat setiap hari sejak beberapa hari lalu.

Semalam, tujuh daerah di Kelantan dikenakan PKP susulan peningkatan kes jangkitan di negeri itu susulan kemunculan beberapa kluster baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here