Penggabungan Celcom Digi wajar jelaskan kepentingan perlindungan pengguna

0
1

PENGGABUNGAN operasi telekomunikasi Axiata Group Bhd dan Telenor ASA yang membentuk entiti Celcom Digi Bhd (Celcom Digi) mencetuskan persoalan tentang kepatuhan kepada undang-undang anti persaingan yang wajar diteliti sebaiknya.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengumuman yang hanya terfokus kepada pengabungan keupayaan syarikat demi meraih keuntungan berganda mesti diseimbangkan dengan kewajaran menggalakkan persaingan sihat dalam pasaran Malaysia yang tidak begitu besar.

Katanya, pengumuman Celcom Digi juga wajar menjelaskan kepentingan perlindungan pengguna selepas ini.

“Pada ketika persaingan semakin sengit dan kos perkhidmatan telekomunikasi tidak menampakkan penurunan nyata, kerajaan harus meminta penjelasan Celcom Digi tentang bagaimanakah semua ini akan menguntungkan pengguna dan meningkatkan kebolehsaingan industri telekomunkasi secara keseluruhan.

“Malaysia wajar mempunyai syarikat telekomunikasi bersifat global untuk meneroka potensi penawaran perkhidmatan rentas sempadan. Namun Celcom Digi nampaknya tidak dibentuk untuk tujuan tersebut.

“Medan persaingannya masih di pasaran Malaysia yang sederhana besar. Maka semua ini mewajarkan penilaian sehabis baik kerajaan tentang manfaat penggabungan ini kepada pengguna, kepentingan nasional, kedinamikan industri telekomunikasi dan kepatuhannya kepada kerangka persaingan sihat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata Malaysia memerlukan pemain yang keutamaannya ialah kepentingan dan keperluan pengguna dalan era ‘Internet for Everything’.

Untuk ia berlaku, katanya, persaingan yang sihat, dikawalselia dengan tekun dan liberalisasi pasaran wajar dipertimbangkan.

“Mempunyai syarikat gergasi telekomunikasi mungkin bukan satu-satunya jalan terbaik untuk mencapai tujuan tersebut,” katanya.

Tambah Mohamad, penggabungan tersebut bakal menjadikan Celcom Digi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.

“Walaupun rundingan ini masih berada pada peringkat ketekunan wajar, ia dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.

“Celcom Digi akan menerajui industri telekomunikasi tempatan dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan. Ia akan menjadi peneraju pasaran dengan jumlah 19.1 juta pelanggan.

“Keputusan ini juga dijangka akan memudahkan Celcom Digi mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G pada skala yang pantas dan menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here