Annuar tak puas hati, tahap pematuhan SOP bazar Ramadan di KL masih rendah

0
1

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar-bazar Ramadan sekitar ibu kota serta dalam kawasan Wilayah Persekutuan.

Walaupun gembira dengan kehadiran ramai pengunjung sekali gus memberikan rezeki buat peniaga, namun katanya aspek pematuhan SOP perlu ditingkatkan segera.

Katanya, beliau menerima maklumat serta laporan bergambar dari semua 66 lokasi bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan yang mana aspek penjarakan fizikal serta laluan keluar masuk perlu diberi keutamaan.

“Saya gembira apabila kunjungan saya ke bazar Ramadan mendapati keadaan luar biasa iaitu ramai pengunjung datang dan ini baik untuk peniaga.

“Tetapi saya beri peringatan SOP wajib dipatuhi terutama bilangan pengunjung dalam satu masa nampaknya tak terkawal, jadi sukar melakukan penjarakan fizikal.

“Kita ada 66 bazar (di Wilayah Persekutuan), saya minta semua penganjur patuh SOP, terutama sekali pintu masuk dan keluar mesti berasingan dan satu aliran kerana saya dapat maklumat ada yang tak patuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Ramadan Parlimen Ketereh di Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan jika SOP di bazar tidak dipatuhi serta berlaku jangkitan di bazar tersebut, ia akan ditutup.

“Kita harap tak ditutup.. jadi untuk elak perkara itu berlaku, saya minta penganjur baiki dari segi pematuhan SOP.

“Saya dapat laporan bergambar dari seluruh vanue (bazar Ramadan) dan saya tak puas hati sebab didapati tahap pematuhan SOP longgar,” katanya.

Sementara itu beliau berkata terdapat petanda menunjukkan kes sedang meningkat semula termasuk Kuala Lumpur dan ia membimbangkan memandangkan ibu negara itu adalah nadi ekonomi negara.

“Kuala Lumpur dan Selangor memang dalam satu zon sama, boleh bergerak antara zon tapi kita harap masing-masing kurangkan pergerakan. Kita tak mahu ‘lockdown’ lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here