KERAJAAN hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sandakan, Sabah berkuatkuasa 17 hingga 30 April ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daerah itu merekodkan 46 kes baharu hari ini.
“Secara kumulatif sebanyak 6,806 kes dilaporkan di daerah itu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan sebanyak 78 kes direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti ini.
“Pelaksanaan PKP ini antara lain untuk memastikan kadar infeksi terkawal dan tidak menular dengan pantas ke kawasan lain dalam daerah mahupun ke daerah berlainan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKP di Tawau yang dijadual tamat esok dilanjutkan sehingga 30 April susulan masih terdapat peningkatan kes aktif Covid-19 iaitu daripada 124 kepada 729 kes dalam tempoh 14 hari.
“KKM turut melaporkan banyak kes baharu dikesan dan 11 lokaliti di dalam daerah Tawau kini sedang dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri mengumumkan PKPD dilaksanakan di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat di Kelantan.
Turut dikenakan PKPD ialah Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching, Sarawak. – Malaysiapost

