Umno tidak sekat pemimpin muda jadi calon pilihan raya – Tajuddin

0
1

PEMIMPIN muda di kalangan ahli Umno tidak pernah disekat menjadi calon dalam pilihan raya, malah pembabitan mereka adalah digalakkan kerana mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan mental.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata kombinasi kepemimpinan lama juga perlu ada bagi memberi keseimbangan dalam aspek pengalaman.

“Baguslah (cadangan had umur calon di bawah 65 tahun), jadi orang macam saya bolehlah berehat. Tidak payah buat kerja lagi.

“Kita memang galakkan tokoh muda yang ada kelebihan dari segi fizikal, mental namun ada kekurangannya kerana pengalaman mereka tidak boleh dibandingkan dengan orang lama.

“Oleh itu, apa yang penting bagi saya bukanlah usia tetapi sumbangan yang dapat diberikan seseorang itu dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Jalinan Kolaborasi Pintar antara Kolej Antarabangsa Taj (TIC) dan tujuh agensi, di Ipoh hari ini.

Tajuddin mengulas mengenai lapan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 1 April lalu menuntut penambahbaikan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini termasuk had umur calon ahli Parlimen disyorkan tidak melebihi 65 tahun.

Lapan pertubuhan meliputi gabungan generasi baharu itu ialah Gerakan Belia 4B Malaysia, Keilmuan Nasional, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Majlis Belia India Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia, Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).

Beliau berkata, proses peremajaan dalam parti keramat orang Melayu itu berjalan sejak dahulu di mana banyak pemimpin negara menggalas tanggungjawab dalam kerajaan pada usia muda.

“Kita beri banyak peluang kepada orang baru ini untuk jadi wakil rakyat, menteri, timbalan menteri mahupun exco. Itu (usia) bukannya masalah dan kita juga tidak menyekat.

“Selama ini kalau dilihat rekod, banyak tokoh-tokoh muda yang diberi peluang dan kesempatan namun ada dalam kalangan mereka yang berjaya, ada yang tidak.

“Kalau kita lihat sejarah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Besar Pahang ketika berusia 30-an, begitu juga Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here