WARGA kota raya Kuala Lumpur dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang berlaku susulan amaran cuaca buruk yang dijangka berterusan hingga hujung minggu ini.
Peringatan itu dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook yang berkongsi ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).
Berdasarkan ramalan Met Malaysia dari 11 hingga 17 April ini menunjukkan amaran ribut petir pada sebelah petang setiap hari di beberapa tempat di ibu kota.
“Peka dengan perubahan cuaca kebelakangan ini. Jika berlaku banjir kilat di kawasan anda, sila hubungi Bilik Gerakan DBKL di talian 03-40244424 untuk tindakan kecemasan,” katanya.
Beberapa kawasan sekitar ibu negara semalam mengalami hujan lebat berserta angin kencang selain beberapa laluan turut dinaiki air menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat berterusan sejak jam 4.30 petang.
Antara laluan yang dinaiki air ialah Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan.
DBKL dalam satu lagi hantaran memaklumkan sudah melakukan kerja pembersihan segera di kawasan yang terjejas bagi mengelakkan gangguan lalu lintas dan kesulitan kepada orang awam.
“DBKL bertindak pantas melaksanakan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok-pokok tumbang akibat daripada hujan lebat yang turun pada 12 dan 13 April 2021 di sekitar Kuala Lumpur.
“Kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan gangguan lalu lintas serta kacau ganggu kepada awam.
“Tindakan pantas ini sedikit sebanyak melegakan warga kota yang turut terkesan dengan fenomena cuaca sejak kebelakangan ini,” katanya. – Malaysiapost

