UMUM tahu semua perkhidmatan tren dikendalikan Rapid KL melarang penumpang makan atau minum di dalam pengangkutan awam tersebut.
Ia meliputi semua perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel bagi menjaga kebersihan serta mengelak bau yang mengganggu penumpang lain.
Namun begitu dalam satu komen pada Facebook Rapid KL semalam, seorang pelayar laman sosial syarikat pengangkutan awam tersebut, meminta izin berbuka puasa di dalam kemudahan terbabit.
Menurut pemilik akaun Facebook Zayree Bin Hashim, beliau meminta izin apabila sampai waktu berbuka puasa ketika masih berada dalam tren, untuk minum dan makan makanan ringan untuk mengalas perut.

“Min (admin), nak minta izin kalau dah sampai waktu berbuka ketika masih dalam tren boleh tak nak minum dan makan ringan-ringan sikit untuk sekadar berbuka.
“Bukan makan nasi pun.. Huu.. Sekadar roti sebuku dan air kotak..Baru semalam terjadi, saya sekdar nak berbuka, tapi dapat jelingan dari orang sekeliling.

“Kena pula semalam saya seorang saja yang Muslim dalam train (tren)… takdan (tak sempat) nak smpai rumah… bolehkan min?,” tulisnya.
Komen itu mendapat banyak komen balas daripada netizen yang rata-rata bersetuju dengan perkara yang diutarakan Zayree.
Terdapat juga sebahagian pengguna media sosial itu yang memberi pendapat tidak salah untuk penumpang sekadar minum air mineral bersama kurma mahupun roti untuk mengalas perut sebelum sampai ke destinasi.
“Bawa gula-gula atau buah kurma dan air kosong cukup la. Kalau sampai air kotak dan roti memang orang akan jeling,” tulis Wahida Hazmin.
Azli Ahmad pula menulis: “Apa fungsi train buat pengumuman berbuka puasa kalau tidak boleh berbuka… setakat minum air kotak dan makan makanan yang tak berbau ok rasanya seperti kurma. Pastikan bekas minuman bawa balik, jangan tinggal.”
Komen Zayree turut mendapat perhatian Rapid KL yang membalas: “Hai. Boleh aje (saja) nak berbuka dulu. Basahkan tekak dengan air mineral dulu.”
Jadi kepada penumpang yang ‘tersangkut’ dalam tren ketika waktu berbuka puasa, jangan simpan saja botol air dalam beg, basahkanlah tekak dulu sebelum sampai ke destinasi. – Malaysiapost

