PERGERAKAN rentas daerah di Kelantan tidak dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri itu kecuali daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli mulai Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin menerusi hantaran di Facebooknya petang tadi.
“PKP di Kelantan berkuatkuasa 16 hingga 29 April kecuali daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang. Rentas daerah tidak dibenarkan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh daerah di Kelantan dikenakan PKP iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.
Perintah itu berikutan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dan sembilan kluster baharu dilaporkan.
Katanya, ementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di negeri itu dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kepada 1,088 kes dan tujuh daerah berada dalam Zon Merah.
“Selain itu, terdapat juga sembilan kluster baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya.
Kelantan mencatatkan 226 kes baharu hari ini, iaitu ketiga tertinggi selepas Selangor dan Sarawak. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/14/tujuh-daerah-di-kelantan-diarah-pkp/

