MESKIPUN sibuk dengan jadual yang ketat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa meninjau bazar Ramadan, bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 di Putrajaya, petang tadi.
Beliau tiba kira-kira pukul 5 petang dan meluangkan masa meninjau keseluruhan bazar Ramadan di situ kira-kira 30 minit.
Muhyiddin turut berkesempatan beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga di tapak bazar selain meninjau tahap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung serta peniaga terbabit.
Perdana Menteri tidak melepaskan peluang membeli lauk serta kuih-muih sebagai juadah berbuka puasa.
Terdapat 160 gerai di bazar Ramadan Presint 3 di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang menjual pelbagai juadah makanan dan minuman bermula dari pukul 4 petang sehingga 8 malam.
Selain bazar Ramadan Presint 3, terdapat tiga lokasi bazar yang disediakan PPj iaitu di Laman Perdana, Presint 1; Laman Duta, Presint 15 dan Food Truck Ramadan di Laman Hijau, Kompleks PPj. – Malaysiapost

