Bazar Ramadan: Pulau Pinang akan tetapkan keputusan jika kes naik

0
2

KERAJAAN Pulau Pinang tidak akan teragak-agak membuat keputusan sekiranya berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19 dari bazar Ramadan yang beroperasi di sekitar negeri itu.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, berkata pihak berkuasa khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memantau keadaan setiap hari di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan terus memantau keadaan bazar-bazar Ramadan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Memandangkan lampu hijau (kebenaran) diberikan untuk pembukaan operasi bazar Ramadan, pihak berkuasa akan sentiasa memantau keadaan di semua bazar. Saya pasti jika situasi kes tidak boleh dikawal, satu keputusan perlu dibuat.

“Di Pulau Pinang, kita akan pantau setiap hari namun jika terdapat peningkatan kes mendadak selama dua tiga hari ini, ia akan memaksa satu keputusan dibuat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Kon Yeow mengesahkan keadaan jangkitan pandemik Covid-19 di Pulau Pinang dilaporkan terkawal selepas purata harian kes hanya mencatatkan 120 hingga 150 kes.

Ia melibatkan 12 kluster aktif yang mana, 10 adalah dari perindustrian dan satu masing-masing dari depot tahanan dan pendidikan.

Sementara itu, tinjauan di beberapa bazar Ramadan sekitar Pulau Pinag mendapati, SOP yang diperlukan antaranya imbasan aplikasi MySejahtera, buku log untuk menulis butiran pengunjung (secara manual) serta serta pemeriksaan suhu badan telah dilaksanakan.

Selain itu, sekurang-kurangnya empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan dalam satu masa untuk mengawal orang ramai dengan kira-kira 50 orang dibenarkan masuk ke bazar dalam satu masa.

Bagaimanapun, pemerhatian mendapati, masih ramai dalam kalangan pengunjung dan peniaga yang tidak memakai pelitup muka dengan betul selain tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berurusan di bazar Ramadan.

Semalam, Malaysiapost melaporkan, tular di media sosial keadaan di beberapa Bazar Ramadan yang dikerumuni orang ramai tanpa mematuhi SOP seperti penjarakan sosial. – Malaysiapost

Walaupun baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan Malaysia terdedah kepada ancaman gelombang Covid-19 keempat.

Namun, peringatan itu seperti mencurahkan air ke daun keladi, tanpa rasa takut orang ramai mula mengabaikan pematuhan SOP.

Foto Kredit: Facebook Chow Kon Yeow

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/13/hari-pertama-bazar-ramadan-tak-patuh-sop/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here