SEORANG pegawai dan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor ditahan kerana melakukan aktiviti pemerasan di sekitar daerah terbabit.
Kesemuanya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat pada 8 April lalu jam 6.15 petang.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa yang mendakwa diperas ugut sebanyak RM1,500 agar tindakan undang-undang tidak diambil terhadap seorang pekerja Bangladesh di sebuah kilang perabot.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pengurus kilang perabot berkenaan diminta membayar wang terbabit , namun mangsa tidak dapat menyediakan wang sebanyak yang diminta tetapi hanya mampu memberi wang RM1,000 kepada suspek-suspek tersebut.
“Selepas menerima wang berkenaan kesemua suspek beredar meninggalkan kilang perabot berkenaan tanpa mengambil sebarang tindakan terhadap pekerja asing warga Bangladesh berkenaan yang tidak mempunyai sebarang permit.
“Susulan daripada laporan dibuat oleh mangsa tangkapan dilakukan terhadap semua suspek berusia 26 hingga 46 tahun yang kemudian reman sehari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Menurutnya, semua suspek telah dibebaskan dan pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan bagi membolehkan suspek dituduh seawal hujung minggu ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman terbabit.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kes berkenaan, Ayob Khan berkata siasatan lanjut mendapati pegawai dan anggota polis terbabit sudah lama menjalankan aktiviti pemerasan itu.
“Banyak maklumat sebelum ini mungkin tidak sampai kepada pihak kami di IPK Johor. Mereka ini sudah jadi macam ‘pemunggut cukai pintu’ lebih kurang macam itulah di mana mereka akan pergi ke kilang-kilang untuk membuat pemerasan tetapi ini kali pertama mangsa tampil buat laporan polis sebab itu kita ambil tindakan.
“Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada saya terus sebab saya akan ambil tindakan. Kalau lapor kepada Ocpd (Ketua Polis Daerah) atau dipetingkat daerah atau ketua jabatan yang tidak ambil tindakan, tuan-tuan maklumkan kepada saya, saya akan ambil tindakan kepada OCPD berkenaan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sedang menyiasat sama ada sebelum ini ada laporan dibuat kepada Ketua Polis Daerah (KPD) tetapi tindakan tidak diambil.
“Kali ini mangsa lapor terus ke sini (IPK) saya arahkan mereka ditangkap dan kertas siasatan dibuka,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Facebook Polis Johor Official

