SEORANG lelaki dari India mendakwa berjaya mencipta humanoid dilengkapi teknologi kepintaran buatan (AI) yang boleh bertutur dalam 38 bahasa.
Memetik Metro.co.uk, Dinesh Patel mendakwa robot yang dicipta dengan kadbod dan plastik itu dibina dengan kos £500 (RM2,840).
Lelaki itu yang berasal dari kampung Rajmalpur di Uttar Pradesh, berkata dia menghabiskan lebih tiga tahun untuk menghasilkan robot tersebut.
Katanya, prototaip dinamakan ‘Shalu’ mampu bertutur 38 bahasa asing termasuk bahasa Inggeris dan sembilan bahasa tempatan.
“Robot humanoid itu boleh mengenal pasti objek dan menyelesaikan soalan matematik. Shalu juga boleh menghafal serta menjawab teka-teki dan soalan pengetahuan am.
“Robot ini memiliki pelbagai keupayaan sehingga membolehkannya melakukan aktiviti lain seperti membaca surat khabar, horoskop dan resipi serta menyampaikan laporan cuaca,” katanya yang merupakan guru Sains Komputer.
Malah, Dinesh turut berkata, robot humanoid itu dicipta menggunakan bahan buangan termasuk aluminium, kadbod, kayu, serta plastik dan kemudian memprogramkan Shalu ke komputer.
“Saya juga berhasrat menggunakan pencetakan tiga dimensi (3D) untuk menghasilkan bahagian badan robot yang lebih realistik,” katanya. – Malaysiapost

