Nurul Huda Abhar
BAZAR Ramadan di seluruh Kelantan masih tidak dibenarkan beroperasi biarpun kes baharu Covid-19 di negeri itu mencatatkan penurunan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata walaupun Kelantan merekodkan 54 kes baharu semalam namun trend kadar kebolehjangkitan (Rt) masih tinggi dan dijangkakan Covid-19 akan terus meningkat.
Beliau berkata, bagi meringankan beban peniaga yang telah berdaftar di bazar Ramadan, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta sebagai saguhati kepada peniaga terjejas.
“Kita cukup memahami pada Ramadan, bazar adalah salah satu punca pendapatan kepada peniaga-peniaga kecil dan jangkakan kerugian kerana tidak membuka bazar Ramadan kita fahami.
“Ada sesetengah telah membeli barangan. Dengan sukacitanya saya memaklumkan kita setuju memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta untuk memberi sedikit saguhati kepada peniaga yang terkesan dengan pembatalan pembukaan bazar Ramadan pada tahun ini,” katanya ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, hari ini.
Menurut beliau, keputusan membatalkan bazar Ramadan dibuat ekoran kes jangkitan Covid-19 yang naik mendadak dan fasiliti hospital kelihatan tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit.
“Kita terpaksa menyekat penularan ini dengan tidak cuba membuka tempat yang akan menghasilkan tempat sesak dan boleh menyebabkan Covid-19 meningkat.
“Yang saya paling bimbang status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditukar kepada PKP. Ini kerana sekiranya kita bertukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua kedai kena tutup hanya perkhidmatan perlu (essential services) sahaja dibenarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Izani menegaskan pengumuman PKP adalah bergantung kepada laporan kes Covid-19 yang berlaku di Kelantan.
“Tolong rakyat berjaga-jaga, kerana pengumuman PKP ini bergantung kepada laporan kes-kes yang berlaku di Kelantan. Sekiranya kes tidak dapat dikawal, fasiliti hospital tidak dapat menampung maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan isytihar PKP
“Tolong paham elok-elok PKP bukan negeri yang umumkan. PKP berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kepada MKN,” kata beliau. – Malaysiapost

