Umno 3.0 itu apa? Tak habis-habis – Hishammuddin

0
1
pau 2020

“UMNO 3.0 itu apa? Tidak habis-habis, saya minta semua pihak, cukup-cukuplah,” rayu Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, Umno perlu memperkukuhkan kekuatannya daripada terperangkap dengan agenda yang ingin memecah belahkan parti.

“Kita banyak lagi agenda. Saya sudah nyatakan apa yang penting adalah kestabilan parti kita sendiri.

“Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin, usaha untuk mewujudkan kem-kem tertentu mesti berhenti, kerana apa yang penting sekarang adalah untuk kita kukuhkan parti selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini,” katanya seperti dilapor Umno Online hari ini.

Justeru, beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) berharap semua pihak berhenti untuk melaga-lagakan pemimpin dan mewujudkan kem tertentu dalam Umno, sebaliknya menumpukan usaha menjaga kestabilan parti.

Menteri Luar Negeri itu juga melahirkan kebimbangan beberapa agenda yang boleh memecah belahkan Umno termasuk tular perbualan audio mirip suara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Hishammuddin, isu yang melanda Umno ketika ini bukan sahaja akan memberi kesan tidak baik kepada akar umbi, malah ia boleh dipandang serong oleh rakyat terhadap Umno.

Ditanya adakah isu-isu yang timbul kini akan menjejaskan momentum Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bekas Naib Presiden Umno itu berkata, ia sememangnya akan menjejaskan sekiranya tidak dibendung.

“Benda ini telah pun menular dari awal dulu, saya sendiri secara peribadi menjadi mangsa sudah tiga tahun, tetapi masih kekal lagi dalam Umno. Dituduh macam-macam, saya masih lagi kekal dalam Umno.

“Mereka boleh tuduh saya mengkhianati parti, saya hendak lompat parti, tetapi sudah tiga tahun saya masih lagi dalam parti.

“Jika kita habiskan masa tiga tahun lalu hanya memikirkan Datuk Hisham hendak lompat parti atau tidak, itu hanya bazirkan masa dan tidak akan membantu membina Umno kembali, dalam keadaan yang kita harapkan,” katanya.

Baru-baru ini sebuah portal melaporkan, spekulasi tersebar luas berkait rancangan untuk menyingkirkan Ahmad Zahid dan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak dari pentas politik menjelang Ogos ini.

Keadaan itu sekali gus menyambut kemunculan kepimpinan baharu parti dikenali sebagai Umno 3.0 yang akan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS. – Malaysiapost

Foto Kredit: Umno Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here