SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dilihat sebagai organisasi berkecuali, bebas dan profesional dalam memerangi rasuah di peringkat tertinggi, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, perkara itu dapat dilihat membabitkan beberapa kes berprofil tinggi namun tiada tindakan diambil oleh SPRM.
Menurutnya, SPRM kini harus tampil menjelaskan mengenai kes-kes berkenaan terutama kes membabitkan ‘kartel Menteri’.
“Jaminan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bahawa tidak ada campur tangan politik dalam kes rasuah berprofil tinggi adalah omong kosong, dan tidak dapat membantu menjaga nama baik dan integriti SPRM, jika tidak ada tindakan diambil terhadap Kartel Menteri yang terdiri pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“SPRM telah bertindak tegas terhadap kartel tender projek, yang memonopoli sejumlah 354 tender dari beberapa kementerian dan agensi kerajaan, dianggarkan bernilai RM3.8 bilion, merampas peluang bagi usahawan Malaysia yang jujur, dan pembangunan berkualiti untuk rakyat.
“Namun, SPRM gagal bertindak tegas terhadap kartel “Menteri” untuk menghilangkan kecurigaan mendalam masyarakat, yang dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SPRM telah dijadikan senjata, sebagai alat politik terhadap pemimpin pembangkang untuk digunakan kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, terdapat 10 kes yang jelas melibatkan penyalahgunaan kuasa, namun tiada tindakan diambil oleh SPRM antaranya isu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dirakam secara audio, menawarkan jawatan dan kedudukan politik di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik.
“Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, yang berpaling tadah dari PKR untuk menyokong Muhyiddin, mengakui bahawa Muhyiddin menjanjikannya kedudukan rasmi yang akan memberi dia landasan untuk membangun semula ekonomi negara.
“Kemampuan meragukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk menyelesaikan tuntutan kebankrapan bagi hutang berjumlah RM1.3 juta, ketika dia hanya mengisytiharkan aset RM72,000 pada 20 November 2019 dengan pendapatan bulanan RM34,000,” katanya .
Menurutnya, kes lain adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendedahkan bahawa pemimpin kerajaan Sabah sebelum ini telah memberi 700,000 ekar tanah hutan simpan di bawah Yayasan Sabah atau Sabah Foundation kepada kawan dan keluarga.
“Kes Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, menulis surat sokongan agar anaknya sendiri dilantik menjadi Lembaga Pengarah Pharmaniaga, sebuah syarikat di bawah pengawasan dan kuasa Kementerian Pertahanan.
“Isu Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menulis surat sokongan yang menyokong tawaran kontraktor untuk dianugerahkan projek lebuh raya besar di Kelantan melalui rundingan terus.
“Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berjanji untuk memanfaatkan jawatan kerajaannya bagi mengeluarkan surat sokongan sebagai pertukaran undi dalam pemilihan Pemuda Bersatu.
“Jawatankuasa Parlimen Kira-kira Wang Negara telah meminta SPRM untuk bertindak setelah mendedahkan mantan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai memberikan kontrak bernilai RM149.5 juta dengan pemberian terus kepada syarikat yang sebahagiannya (25%) dimiliki oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Wee Jeck Seng,” katanya.
Guan Eng berkata, pendedahan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kartel pegawai polis yang korup juga tidak disiasat oleh SPRM dan akihr sekali isu pemberian kontrak kerajaan persekutuan kepada pemegang jawatan parti Bersatu dalam mesyuarat politik Bersatu.
“SPRM harus tampil menjelaskan dengan jujur mengapa masih belum ada tindakan ke atas 10 kes kartel Menteri. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International menurun dari tangga 51 pada 2019 ke 57 pada 2020,” katanya. -Malaysiapost

