Sharifudin Abdul Rahim
SEMPENA Ramadan kali ini, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bermurah hati menyumbangkan 500 kampit beras kepada Pengurusan Masjid Jamek Kampung Baru.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, sumbangan itu bertujuan menyokong tradisi lebih 100 tahun diusahakan pengurusan masjid dalam “Program Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru’.

“Saya difahamkan dulu orang Kampung Baru berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa. Mereka memasak bubur lambuk dalam periuk kecil.
“Bagaimanapun sejak 30 tahun lalu, pihak masjid mula menggunakan periuk besar kerana mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk Kampung Baru dan pengunjung dari luar.

“Memandangkan YWP bermastautin di Kampung Baru, maka kami berbesar hati untuk turut menyumbang beras yang merupakan bahan masakan utama dalam program ini,” katanya.
Mulai 1 Ramadan, pihak masjid akan menyediakan bubur lambuk dan mengagihkannya secara percuma kepada orang ramai.

Sumbangan beras melalui program MyBeras@Wilayah telah bermula pada 1 Februari 2021 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Program itu dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hasil inisiatif Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bertujuan meringankan beban warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – Malaysiapost


Alhamdulillah, terbaik dato