MALAYSIA akan menerima padah gelombang keempat Covid-19 jika semua pihak tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Ramadan ini.
Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mengamalkan SOP dan jangan mengambil mudah ancaman pandemik Covid-19.
“Walaupun aktiviti sepanjang Ramadan dibenarkan, ia tidak bermakna kita boleh leka kerana Covid-19 tidak pernah bercuti.
“Maka, kita bersama-sama perlu mematuhi SOP apatah lagi di bulan Ramadan terdapat banyak aktiviti seperti bazar Ramadan, majlis berbuka, moreh dan solat terawih berjemaah.
“Kemungkinan berlakunya gelombang keempat Covid-19. Maka kita perlu berhati-hati,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata jangkitan harian Covid-19 di Malaysia masih menunjukkan turun naik dan kebimbangan penularan masih ada kerana kadar kebolehjangkitan atau R-naught kembali melebihi tahap 1.0.
“Walaupun kita masih merekodkan empat angka kes harian iaitu lebih 1,000 namun perkembangan ini belum menunjukkan kita selamat daripada dijangkiti wabak ini.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-Naught (Ro/Rt) pada jangkaan mengikut kes seharian pada 11 April 2021 untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.06.
“Mengikut negeri pula, Terengganu merekodkan Ro/Rt tertinggi iaitu 1.56,” katanya.
Ismail Sabri menambah, kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan terkini Covid-19 di beberapa negara yang masih dalam keadaan tidak menentu dengan berlakunya turun-naik dalam kes harian. – Malaysiapost

