‘Boss’ menteri kewangan keluar arahan ‘lepas tangan’ – dakwa Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak hari ini mendakwa ‘boss’ kepada Menteri Kewangan mengeluarkan arahan supaya ‘lepas tangan’ dalam kes tunggakan cukai pendapatan hampir RM1.7 bilion melibatkan beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa beliau tidak menyalahkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkaitan tuntutan yang dibuat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sebab saya sudah terima maklumat bahawa dia pernah cuba tolong saya tapi telah dihalang oleh bossnya selepas Perhimpunan Agung Umno.

“Dia (Tengku Zafrul) disuruh lepas tangan dalam hal cukai terhadap saya ini. Biar boss dia uruskan.

“Tapi jika saya dibankrapkan, bagaimana pula saya mampu mengupah peguam untuk membela saya dalam kes-kes mahkamah lain terhadap saya yang dikenakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu bawah Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, LHDN memfailkan notis muflis terhadap Najib kerana gagal membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Dalam notis bertarikh 4 Februari lalu itu, Najib dikehendaki membayar RM1.69 bilion berserta faedah lima peratus setiap bulan atau RM45.9 juta daripada tarikh mahkamah mengeluarkan perintah.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Ia susulan mahkamah benarkan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap bekas perdana menteri itu bagi menuntut jumlah tunggakan berkenaan.

Sementara itu Najib berkata menerusi jawapan rasmi di Parlimen yang diberi Menteri Kewangan kepada soalan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Julai 2020, antara lain sumbangan politik dikecualikan cukai.

Begitu juga katanya, parti politik dikecualikan cukai dan pendapatan dari sumber luar negara juga dikecualikan cukai.

“Jadi, kenapa pula saya dikenakan penalti cukai tambahan RM1.74 bilion oleh kerajaan PH dahulu dan kenapa tindakan ini diteruskan di bawah kerajaan PN?

“Mat Maslan lupa tanya kenapa dana yang diterima dari luar negara dan dipulangkan empat bulan kemudian kepada penghantar dan dana yang dikatakan hasil “rompakan” dikenakan cukai pula.

“Menteri Kewangan juga kata jika mereka yang dikenakan tindakan cukai tidak sahih masih boleh merayu di mahkamah atau mengemukakan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) di bawah LHDN,” katanya.

Bagaimanapun Najib mempersoalkan apabila beliau membawa kes cukai itu ke mahkamah, hakim memberitahu bahawa undang-undang tidak memberi kuasa kepada mahkamah untuk campur tangan dalam pengiraan cukai penalti dikeluarkan LHDN.

“Suruh saya bayar dulu, lalu bincang kemudian manakala saya juga tidak dijadualkan dan diberi peluang untuk merayu kepada PKCP. Terus dikeluarkan notis bankrap terhadap saya,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here