YANG di-Pertuan Agong menasihati ahli-ahli politik untuk merapatkan saf berganding bahu memerangi wabak Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara, sempena keberkatan dan kemuliaan di bulan Ramadan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga mahu ahli politik menjadi ‘role model’ kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik.
Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berkata baginda mahu kehadiran Ramadan menjadi titik mula ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti.
“Seri Paduka Baginda menasihati ahli-ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah membantu rakyat yang amat terkesan akibat ancaman wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Baginda menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.
“Pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara,” katanya Ahmad Fadil.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang mendukung prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara.
Katanya, Baginda turut berpandangan bahawa keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 sewajarya diberikan kepada usaha melawan Covid-19 dan tndakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara menerusi inisiatif-inisiatif kerajaan, termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihati umat Islam, khususnya petugas barisan hadapan supaya terus tabah menjalani ibadat puasa dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Umat Islam negara ini turut dinasihat supaya terus cekal mengharungi ujian ini dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” kata Ahmad Fadil. – Malaysiapost

