Saksi Honda CRV langgar motosikal diminta tampil – Polis

0
1

POLIS mengesahkan kemalangan melibatkan kereta Honda CRV yang melanggar sebuah motosikal dan beberapa kenderaan lain yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata kemalangan berlaku jam 7.20 malam pada 9 April lalu di kedai makan Sofia Corner, Jalan Kampung Kepong, Kuala Terengganu.

Suffian berkata, pemilik kenderaan Honda CRV telah membuat laporan pada 9 April.

“Ekoran daripada video yang tular, siasatan polis mendapati pemilik Honda CRV membuat laporan polis terlibat dalam satu kemalangan pada 9 April 2021 dan siasatan dijalankan di bawah Rule 10 LM166/59.

“Seterusnya pada 10 April pengadu yang sama membuat laporan kenderaan beliau dipecahkan cermin hadapan, sisi dan belakang serta telah diugut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah/Khianat),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Suffian, polis sedang menjalankan siasatan lanjut tentang perkara tersebut.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta pemilik motosikal yang dilanggar dalam video tersebut membuat laporan dan saksi dapat tampil bagi membolehkan siasatan menyeluruh dalam pelbagai aspek,” katanya.

Hari ini, tular tiga video yang memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melulu dan melanggar sebuah motosikal, selain seorang lelaki memukul cermin kenderaan itu dengan topi keledar.

Kejadian di sebuah kedai makan di Kuala Terengganu itu sempat dirakam pelanggan kedai tersebut, dan pemandu kereta itu dapat meloloskan diri dengan memandu secara berbahaya.

Satu lagi video perbualan antara seorang individu yang berdiri di atas kereta, dan dipercayai sedang bercakap dengan pemandu kereta Honda CRV tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here