264 atlet, pegawai terlibat Olimpik, Paralimpik terima vaksin esok

0
1

SERAMAI 264 atlet negara dan pegawai yang terlibat dalam temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik bakal diberi suntikan vaksin Covid-19 pada 13 April ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut dijadual menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama barisan atlet pada hari tersebut.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, persiapan rapi sedang dibuat oleh barisan atlet negara dalam menghadapi temasya Sukan Olimpik yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 3 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik  pada 24 Ogos hingga 5 September 2021 di Tokyo, Jepun.

“Aspek persiapan merangkumi pemberian vaksin kepada para atlet dan pegawai yang terlibat serta program yang diatur khas bagi menyemarakkan lagi semangat menghadapi temasya ulung itu.

“Meskipun temasya Olimpik dan Paralimpik ditangguhkan pada tahun lalu akibat penularan Covid-19, KBS telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan perancangan termasuk latihan atlet melalui Gelembung Sukan.

“Ia bagi memastikan semua atlet sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan mampu beraksi dengan cemerlang di arena antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut KBS, Reezal Merican juga akan melancarkan perkiraan Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 pada 14 April di Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Kenyataan itu berkata, program itu bertujuan mendapatkan sokongan masyarakat serta membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di temasya tersebut.

Sementara itu, laman web rasmi Road to Tokyo 2020 bakal dilancarkan sebagai platform hebahan maklumat berkaitan kontinjen negara serta memperkenalkan identiti meliputi slogan, lagu dan sorakan pasukan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here