Pandemik Covid-19 bukan alasan tak dekati rakyat – Ismail Sabri

0
1

AHLI Umno digesa supaya lebih kreatif dan tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk tidak mendekati rakyat.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hubungan dengan rakyat masih perlu dijalinkan walaupun tidak sebebas dahulu.

“Walaupun tidak sebebas dahulu untuk pergi rumah ke rumah dengan kumpulan yang ramai, tetapi untuk kumpulan kecil seorang atau dua orang masih boleh.

“Seperti Pahang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kunjungan dalam jumlah tidak ramai masih boleh,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Ahli Parlimen Bera itu yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Kumai di Bera semalan.

Ismail Sabri berkata satu lagi cara berhubung dengan rakyat terutama pengundi adalah melalui media sosial seperti mewujudkan kumpulan WhatsApp di dalam satu kampung.

“Contohnya di Felda yang ada blok-blok supaya komunikasi boleh juga berlaku tidak perlu ke rumah. Jadi kita kena kreatif kalau tidak boleh buat secara tradisi seperti dulu, kita buat cara baru secara maya,” katanya.

Ismail Sabri menyampaikan bantuan menerusi program Ziarah Kasih di Felda Kumai, Bera

Ditanya mengenai persediaan jentera pihan raya Umno di kawasannya, beliau berpuas hati kerana semua sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.

“Di Bera kami sudah bersedia bukan setakat jentera peringkat bahagian, malah cawangan dengan bilik gerakan sudah lama saya arahkan buka.

“Dari segi kajian sikap jalinan rakyat, saya dimaklumkan sudah dua kali dibuat, maknanya kalau berlaku pilihan raya kita sudah ada data lengkap sama ada kawasan boleh menang atau kalah, kawasan kelabu, putih atau hitam kita dah tahu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here