KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Tourism Malaysia melancarkan Kempen Cuti-Cuti Malaysia (CCM) ‘Jom Dive!’.
Program dengan kerjasama Persatuan Penyelam Skuba Malaysia itu bertujuan menggalakkan rakyat mengunjungi pulau-pulau di negara ini serta menikmati kepelbagaian khazanah marin.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kempen itu antara inisiatif kerajaan untuk merancakkan kembali ekonomi negara melalui penglibatan penggiat industri pelancongan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).
Katanya, kempen bermula hari ini sehingga 31 Mei 2021, menawarkan potongan harga istimewa kepada orang ramai yang ingin mendapatkan lesen aktiviti selam skuba, selain menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik.
“Melalui kempen ini, sebanyak 1,000 pakej selam skuba ditawarkan berdasarkan terma dan syarat ‘siapa cepat, dia dapat’.
“Pemberian diskaun sebanyak RM450 akan diberi bagi setiap pembelian pakej berharga RM1,000 dan ke atas di dalam satu resit.
“Kempen ini diharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat untuk melancong serta menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik dengan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Nancy berkata kempen itu juga diharap dapat memupuk minat, kesedaran serta rasa kecintaan orang ramai terhadap keindahan dasar laut semula jadi yang terdapat di dalam negara ini.
Beliau turut meminta agar orang ramai merebut peluang keemasan itu untuk meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati keunikan khazanah hidupan marin serta keindahan pulau-pulau di Malaysia.
Maklumat lanjut berkenaan kempen itu boleh didapati dengan melayari laman sesawang Tourism Malaysia, www.malaysia.travel atau platform www.xtvt.com.my. – Malaysiapost

