Negeri jadi wilayah: Buat tiga perkara ini dulu, kata Rahman Dahlan

0
3

MENGGANTIKAN istilah negeri Sabah kepada wilayah hanya akan diterima oleh rakyat negeri itu jika ia seiring dengan perubahan dasar kerajaan pusat dalam hubungannya dengan Sabah.

Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata jika tidak, ia hanyalah perubahan berbentuk kosmetik yang tidak menguntungkan rakyat Sabah.

Katanya, banyak terma dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau Malaysia Agreement 1963 (MA63) masih lagi tidak dilaksanakan dan alasan yang diberi ialah masih dalam rundingan serta memerlukan masa.

“Jadi sementara menunggu keputusan rundingan MA63, ada banyak dasar yang boleh dilaksanakan sekarang bagi membuktikan keikhlasan kerajaan pusat dan negeri untuk mencapai keseimbangan dan keadilan dalam Persekutuan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Abdul Rahman yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) turut mengusulkan tiga cadangan iaitu:

1) Satu negara, satu harga.

Kenapa rakyat Wilayah Sabah terpaksa membayar harga tinggi bila mereka membeli barangan dan perkhidmatan dibandingkan dengan Semenanjung, sedangkan pendapatan purata rakyat Wilayah Sabah jauh lebih rendah dari Semenanjung? Kenapa harga barangan dan perkhidmatan di seluruh Semenanjung boleh disamakan sedangkan ada kos penghantaran ke negeri-negeri yang jauh seperti Kelantan dan Perlis?

2) Isu pendatang asing tanpa izin (PTI) di Sabah adalah masalah negara, bukan hanya masalah Sabah

Kebanjiran PTI amat membebankan Sabah. Oleh kerana kedudukan geografi Sabah telah ditakdirkan berada dekat dengan Filipina dan Indonesia, maka Sabahlah terpaksa menanggung isu PTI.

3) Tingkatkan bajet dan pindahkan lebih banyak aset pertahanan ke Sabah.

Buat masa ini, ancaman keselamatan terhadap negara lebih nyata di Sabah dari di Semenanjung. Setiap hari sempadan negara di Sabah bolos. Bukan sahaja PTI yang bolos, malah aktiviti penyeludupan masih berleluasa.

Berikan lebih bajet dan aset pertahanan kepada pangkalan tentera laut di Sepanggar, Sandakan dan Semporna dari pengkalan tentera laut di Lumut, Perak dan di Tanjung Gelang, Pahang. Lebihkan juga bajet dan tempatkan aset pertahanan di pangkalan udara di Labuan dari yang diberi kepada pengkalan udara Butterworth dan Subang. Begitu juga bajet dan aset tentera darat di Lok Kawi dan Kota Belud.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketiga-tiga cadangan itu tidak perlu menunggu keputusan rundingan MA63.

“Kalau kerajaan negeri dan pusat nekad untuk menyamakan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung, buatlah ini dahulu. InsyaAllah rakyat Malaysia di Sabah akan menghargainya,” katanya.

Semalam media melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melaksanakan pertukaran nama cawangan bagi semua agensinya di Sabah dan Sarawak bertujuan memisahkan dua negeri itu daripada panggilan “negeri”.

Pelaksanaan itu dilakukan susulan keputusan dan arahan diperoleh pada mesyuarat Kabinet kelmarin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Makan Tengah Hari bersama kepimpinan Masyarakat di Kuching awal bulan ini menggunakan istilah wilayah Sarawak bagi menggantikan negeri.

Katanya, Sarawak salah satu daripada tiga wilayah di Malaysia seperti termaktub dalam MA63. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here