PELAKON Serina Redzuawan menafikan dia bernikah dengan suami, Aidid, 35, di Thailand seperti didakwa beberapa pihak.
Menerusi hantaran di Instagram, Serina menjelaskan perkara sebenar bahawa pernikahan keduanya kali ini diadakan di sebuah negeri dalam satu majlis tertutup.
“Assalamualaikum, tujuan post (hantaran) Serina hari ini nak jelaskan kekeliruan dan nak minta netizen jangan mudah hukum orang lain dengan menambah fitnah kepada Serina dan suami.
“Lepas papa tulis dia tak tahu kami nikah dan dia kata kami nikah di Siam itu tidak benar. Kami bernikah di sebuah negeri dalam Malaysia.
“Secara jujur papa dah tahu kami nikah, saya dah maklumkan pada papa, suami pun dah berjumpa dengan papa,” catatnya.
Tambah Serina, mana mungkin dia dan suami boleh merentasi negara ketika ini kerana tidak boleh berbuat demikian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, Serina yang memiliki sepasang cahaya mata hasil perkahwinan sebelum ini memohon netizen menghentikan kecaman terhadap dirinya dan suami.
“Saya pun terkejut papa cakap kami kahwin di Siam, fikirlah logik sempadan pun tutup mana ada buka, Astaghfirullah cuba fikir baik-baik jangan jadikan media sosial medan tempat tambah dosa, mengumpat, fitnah dan maki hamun orang lain.
“Semua terjadi atas izin Allah, jodoh kami dah tertulis,” catatnya.
Bagaimanapun Serina mengakui dirinya sentiasa menghormati bapa dan hubungan mereka berdua tiada masalah sebelum ini.
“Memang saya akui ramai yang hasut dan cucuk papa macam-macam suka tengok keluarga kami hancur. I always respect my fahter.
“Kami tak ada masalah pun sebelum ini. Sebenarnya papa sendiri ada post di IG dia sebelum ini restu hubungan kami bernikah benda baik, halalkan hubungan dituntut Islam,” katanya.
Serina juga menjelaskan, suaminya yang juga penjawat awam bukanlah suami orang seperti didakwa, sebaliknya duda yang telah lama bercerai kerana masalah perkahwinan jarak jauh selain belum ada zuriat.
“Jangan menuduh suami saya yang tidak benar, apa pun saya maafkan orang yang cuba fitnah dan hancurkan keluarga kami, moga Allah berikan hidayah kepada orang ini. Doakan perkahwinan kami bahagia dunia akhirat,” katanya.
Semalam, Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan melahirkan rasa hampa selepas mengetahui pernikahan Serina melalui kakaknya.
Menurut Cef Wan, dirinya kecewa kerana dibelakangkan oleh anaknya itu dengan mendakwa Serina melangsungkan pernikahan kali kedua di Siam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

