DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu tiga pusat urut gay di sekitar ibu kota lewat malam tadi.
Operasi Tindakan Khas Terhadap Premis Rumah Urut itu dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Kepong Baru, Taman Melati Utama di Setapak dan Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras.
Ia dilaksanakan DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
DBKL menerusi kenyataan memaklumkan susulan aduan dan maklumat yang diterima, pihaknya membuat siasatan serta risikan awal dan mendapati berlaku aktiviti tidak bermoral di lokasi-lokasi berkenaan.
“Hasil serbuan di tiga premis berkenaan, seramai lima wanita tukang urut disyaki pekerja seks dan empat lelaki (Gay) terdiri warganegara Vietnam, Indonesia, Pakistan telah ditahan.
“Turut ditahan dia warga tempatan iaitu penjaga premis untuk tindakan pihak PDRM setelah diambil keterangan bagi proses dokumentasi DBKL,” kata kenyataan itu.
Menurut DBKL, siasatan lanjut mendapati dua daripada premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut.
“Tindakan meroboh dan memecah sekatan terhadap 25 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan menerusi Seksyen 79, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan tindakan sita ke atas 53 pelbagai peralatan turut dilakukan antaranya kondom, minyak pelincir dan lain-lain peralatan,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

