Umno yakin MCA, MIC kekal setia – Ismail Sabri

0
1

UMNO yakin MCA dan MIC terus setia dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pandangan berbeza dinyatakan parti komponen kebelakangan ini kelaziman sejak dahulu dan tidak sesekali memecahbelahkan BN.

Sehingga kini, katanya, tidak ada fakta menunjukkan MCA dan MIC menyatakan tidak akan bersama Umno atau BN.

“Perbezaan pandangan bukan sahaja dalam kalangan ahli Umno sahaja tetapi dengan parti komponen pun, perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang pelik.

“Dari dahulu, waktu kita (BN) jadi kerajaan, kenyataan dikeluarkan parti komponen agak keras dan kita tak pernah berpecah pun.

“Apabila BN kalah PRU14 dahulu, banyak parti lain meninggalkan kita, tetapi MCA dan MIC terus kekal bersama.

“Jadi, pandangan berbeza ini tidak akan memecahbelahkan antara parti dalam BN. Saya yakin MCA dan MIC terus kekal bersama BN,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bangkit 15 di Johor Bahru hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU).baru-baru ini, Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan PRU15 akan datang.

Bagaimanapun, MIC secara jelas menyatakan sokongan kepada Bersatu manakala pendirian dua lagi parti komponen BN, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masih tidak jelas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here