“TIADA sebarang pengumuman rasmi penggunaan terma ‘wilayah’ buat Sabah dan Sarawak setakat ini,” demikian kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Justeru, beliau meminta orang ramai terutamanya rakyat Sabah agar tidak mudah mempercayai berita tidak sahih berkaitan penggunaan terma panggilan Sabah dan Sarawak dikatakan disebut sebagai wilayah berkuat kuasa serta merta seperti tersebar di laman sosial.
Jeffrey berkata, pengumuman penting dan besar seumpama itu seharusnya datang daripada Jabatan Perdana Menteri atau pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan.
“Kita belum mengetahui pihak mana yang menyebarkan berita berkenaan dalam media sosial atau punca maklumat mengenai perkara itu sehingga ia tersebar dengan meluas.
“Itu saya tidak tahu dari mana tetapi kalau bukan datang dari Jabatan Perdana Menteri atau pihak lain yang ada `locus standi. Jangan percaya berita ini. Kita tunggu saja perkembangan seterusnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada berita yang tersebar di media sosial mengenai arahan dikeluarkan sebuah kementerian kepada jabatan dan agensi di bawahnya untuk menukar penggunaan negeri kepada wilayah untuk Sabah dan Sarawak adalah benar atau sebaliknya.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, isu penggunaan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak memang ada disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatannya di Sarawak minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya, belum ada kata putus mengenai perkara itu kerana ia memerlukan penelitian lanjut termasuk bagaimana untuk membezakan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak dengan istilah wilayah untuk Labuan.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri ketika lawatannya ke Sarawak, beliau mengatakan Sabah dan Sarawak bukan negeri tetapi lebih tinggi daripada negeri iaitu wilayah,” katanya. – Malaysiapost

