2 adik Nicky Liow antara yang didakwa di Mahkamah

0
1

DUA adik kepada Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee antara 16 yang didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Mereka ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac lalu kerana terlibat dalam satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Nicky.

Pertuduhan akan dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Terdahulu, kesemua 16 individu termasuk lima wanita ahli geng itu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 7.30 pagi tadi diiringi anggota polis.

Semua suspek termasuk lima wanita yang bergari kemudian dibawa masuk ke bangunan mahkamah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, semalam memaklumkan seramai 16 anggota Geng Nicky akan dituduh mengikut SOSMA hari ini berikutan pembabitan mereka di dalam satu kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, dalang utama yang juga Pengasas Winner Dynasty, Nicky Liow Soon Hee 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.

Nicky Liow berjaya melarikan diri dan kini dalam buruan polis.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky pada 20 hingga 28 Mac lalu.

Pihak polis juga membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/pdrm-guna-bantuan-interpol-buru-nicky-liow/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here