Umno ada pilihan tangguh pemilihan parti 18 bulan

0
1

UMNO boleh menangguhkan pemilihan parti sehingga 18 bulan dari tarikh tamat tempoh penggal tiga tahun seperti yang termaktub dalam perlembagaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata parti itu mempunyai pilihan dan terpulang kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan dalam menentukan sama ada meneruskan pemilihan parti pada Jun atau menangguhkannya ke suatu tarikh yang sesuai.

“Dari segi perlembagaan pemilihan boleh diadakan, tetapi perlembagaan juga ada memberikan pengecualian sedikit, iaitu pemilihan (parti) boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan.

“Kita tunggu MKT punya keputusan,” katanya yang dipetik daripada FMT, hari ini.

Beberapa pemimpin Umno telah menyuarakan agar parti itu mengadakan pemilihan parti pada Jun ini.

Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mendesak pemilihan parti diadakan Jun ini selari dengan berakhirnya tempoh tiga penggal yang dibenarkan ROS.

Manakala, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, menggesa pucuk pimpinan Umno mengadakan pemilihan parti itu segera bagi menyelesaikan keadaan yang disifatkannya sebagai “kemelut dalaman”.

Beliau berkata, Umno tidak boleh menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya perlu menghadapinya dengan parti diterajui kepimpinan baharu yang diterima rakyat.

Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menggesa Umno mengadakan pemilihan sebelum Mei ini bagi menghormati hak demokrasi ahli melantik pemegang jawatan.

Katanya, atas semangat demokrasi, pemilihan parti patut diadakan pada Mei kerana tempoh pemegang jawatan akan berakhir pada masa itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here