Solat terawih, imarah dibenarkan di Kelantan sepanjang Ramadan

0
2
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat terawih serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negeri itu sepanjang Ramadan kali ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Katanya, bagi solat terawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan sama ada lapan atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih satu jam tidak termasuk solat Isyak.

“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat tarawih, manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata aktiviti tadarus al-Quran pula dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak melebihi sejam.

Katanya lagi qiamullail juga dibenarkan sepanjang Ramadan selama sejam sebelum waktu imsak.

“Jamuan berbuka puasa dan bersahur tidak dibenarkan, namun masjid, surau dan musolla digalakkan untuk menyediakan menu berbuka dan bersahur secara bungkus dan diagih kepada jemaah.

“Jamuan moreh juga tidak dibenarkan namun pihak masjid boleh menyediakan secara bungkus untuk dibawa pulang,” katanya.

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam berkata iktikaf di masjid dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Bermula Ramadan ini, kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas dibenarkan mengikuti program-program yang diadakan di masjid, surau dan musolla,” katanya.

Beliau juga menegaskan setiap prosedur operasi standard (SOP) itu perlu dipatuhi semua pihak dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya gagal mematuhinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here