Sebat 100 kali ditangguhkan kerana beranak

0
2

HUKUMAN sebat 100 kali terhadap seorang wanita yang melakukan kesalahan berzina terpaksa ditangguhkan kerana baru melahirkan anak.

Bagaimanapun, hukuman sebat di khalayak ramai itu tetap akan dilaksanakan selepas tiga bulan atau 120 hari selepas dia melahirkan bayi.

Media melaporkan wanita itu mendapat surat pelepasan daripada doktor di sebuah hospital di Acheh supaya hukuman sebat itu tidak boleh dijalankan.

Portal Kompas melaporkan, wanita berasal dari Lhokseumawe itu baru melahirkan bayi pada 1 April lalu.

Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Lhokseumawe, Muhammad Doni Siddik berkata mereka meminta surat pelepasan daripada doktor bertugas untuk melakukan sebatan.

“Doktor mengesahkan hukuman sebat boleh dijalankan selepas tempoh tiga bulan atau 120 hari selepas melahirkan bayi.

“Wanita ini dinyatakan sah dan meyakinkan melakukan perbuatan zina,” katanya.

Menurutnya, tiga individu didakwa melakukan zina dan dihukum sebat oleh Pejabat Pendakwa Raya Lhokseumawe di Stadium Tunas Bangsa dan Kampung Mon Geudong, Bandar Lhokseumawe, kelmarin.

Mereka disebat kerana melakukan perbuatan zina berdasarkan pertuduhan yang dibacakan Mahkamah Syariah Lhokseumawe.

“Mereka dijatuhi hukuman 100 kali sebatan oleh Mahkamah Syariah Lhokseumawe kerana diyakini secara sah melakukan perbuatan zina,” kata Muhammad Doni.

Dia berkata, bagaimanapun sepatutnya wanita itu dikenakan hukuman sebat bersama tiga pesalah lain, namun hukuman terhadapnya ditangguhkan kerana dia baru melahirkan bayi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here