SEORANG anggota polis putus dua jari kaki kiri akibat dirempuh penunggang motosikal yang cuba ditahan untuk pemeriksaan di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan tengah hari tadi.
Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, anggota terbabit sedang menjalankan tugas ‘snapcheck’ bersama pasukan Ronda Cegah Jenayah Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata kejadian membabitkan lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal.
“Semasa menjalankan pemeriksaan, suspek cuba melarikan diri dan melanggar anggota polis yang bertugas sehingga menyebabkan kecederaan parah pada bahagian dua jari kaki kiri hingga putus.
“Anggota terbabit kini sedang mendapatkan rawatan di hospital swasta di Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek yang berjaya diberkas polis menemui dadah jenis heroin anggaran berat 11.89 gram bersama satu botol cecair disyaki air ketum.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan rekod lampau juga tiada sebarang rekod jenayah.
“Permohonan reman akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan minimum 10 sebatan,” katanya.
Beliau berkata, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – Malaysiapost

