GARA-GARA memuat naik gambar borang rentas negeri kosong namun terdapat tanda tangan dan cop sebuah balai polis, satu kertas siasatan telah dibuka berhubung perkara itu.
Borang rentas negeri dipercayai dikeluarkan Balai Polis Chukai di Kemaman, Terengganu tular selepas dipercayai ia dimuat naik di media sosial oleh seorang wanita.
Hantaran bergambar di media sosial tersebut tertulis ‘dapat info SOP terbaru ialah approve dulu baru isi form‘.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata siasatan awal mendapati berlaku pemalsuan tanda tangan Ketua Polis Balai Polis Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli.
“Borang rentas negeri ini telah diberikan kepada seorang wanita untuk merentas negeri ke Kuala Lumpur dengan tujuan menghadiri temuduga mendapatkan pekerjaan yang dijadualkan pada 8 April 2021.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman lewat malam tadi.
Kecoh di Twitter sejak petang semalam apabila seorang pengguna berkongsi sekeping gambar borang rentas negeri kosong namun terdapat tanda tangan dan cop sebuah balai polis.
Ciapan itu mendapat reaksi netizen yang mempersoalkan tindakan individu tersebut yang tidak mengikut saluran betul serta menyalahgunakannya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/06/ramai-masih-cuba-rentas-negeri/

