Pemilihan Umno: Jika DAP boleh, tiada alasan Umno nak tangguh

0
1

JIKA DAP dan parti lain dapat melakukannya tanpa berlengah, maka Umno tiada alasan untuk tidak mengadakan pemilihan parti.

Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mahu parti itu mengadakan pemilihan pada Mei ini sebagai menghormati hak demokratik ahli untuk memilih pemimpin.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, tiada sebab mengapa Umno perlu menangguhkan pemilihan sedangkan ia sebuah parti yang matang dan telah wujud sejak sekian lama.

Atas semangat demokrasi, katanya, pemilihan parti harus diadakan Mei ini kerana tempoh untuk semua memegang jawatan akan berakhir.

“Dengan mengadakan pemilihan, akan menunjukkan bahawa kita telah memenuhi kata-kata kita. Marilah kita menjadi pihak yang mematuhi sistem yang kita sendiri buat.

“Walaupun ada peruntukan untuk menunda pemilihan, tetapi semangat dalam perlembagaan parti supaya pemilihan diadakan setiap tiga tahun sekali harus diikuti, tanpa penundaan.

“Sekiranya DAP dan parti-parti lain dapat melakukannya tanpa berlengah, maka Umno tidak mempunyai alasan untuk tidak melakukannya, sebagai sebuah parti matang yang telah wujud sejak sekian lama,” katanya seperti dilaporkan Suara Merdeka.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Pulau Pinang di Permatang Pauh hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here