Duta jumpa junta Myanmar, Menteri Luar Negeri perlu beri penjelasan

0
1

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diminta memberi penjelasan mengenai pertemuan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Datuk Zahairi Baharim dengan Menteri Elektrik dan Tenaga Myanmar, Aung Than Oo di negara itu semalam.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan berkata pertemuan itu menimbulkan beberapa persoalan berkait pendirian Malaysia terhadap junta Myanmar.

Ini kerana menurut kenyataan itu, umum sedia maklum bahawa kerajaan yang dipilih rakyat Myanmar secara sah telah diguling tentera Myanmar atau Tatmadaw dalam satu kudeta pada 1 Februari 2021.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah menggesa tahanan politik
termasuk Aung San Suu Kyi dibebaskan segera.

“Beliau juga telah menggesa agar satu sidang
tergempar ASEAN diadakan untuk membincangkan keadaan di Myanmar selepas kudeta Tatmadaw pada 1 Februari.

“Namun permintaan-permintaan ini belum dilaksana atau tercapai,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari PKR, Khalid Abd Samad dari Amanah dan Liew Ching Tong dari DAP.

Menurut kenyataan itu lagi, pertemuan Duta Besar Malaysia dengan junta Myanmar, terutama ketika pendirian Malaysia dalam isu tahanan politik dan sidang tergempar ASEAN tidak berubah, menimbulkan persepsi Malaysia mengiktiraf kerajaan tersebut.

“Ini tidak membantu usaha mengembalikan demokrasi di Myanmar. Oleh itu, kami mendesak Menteri Luar Negeri untuk segera memberi penjelasan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Twitter @/nslwin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here