JENAYAH penipuan melalui platform e-dagang kini semakin membimbangkan dengan jumlah kes meningkat terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata situasi itu berlaku susulan pengguna kini beralih kepada pembelian barangan secara dalam talian dan antara penipuan paling banyak dikesan adalah penjualan barangan tidak wujud.
Menurutnya, berdasarkan kajian antara kes penipuan mencatatkan rekod yang tinggi adalah penjualan barang kemas.
“Pada 2019 sejumlah 21 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM148,444 dan jumlah kes ini meningkat kepada 44 pada 2020 dengan kerugian RM261,945.
“Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sejumlah 37 kes dicatatkan dengan kerugian RM239,530,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peningkatan kes itu perlu ditangani secara serius dan di peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), JSJK telah melaksanakan langkah perlu memastikan usaha pembanterasan dilakukan dengan efektif.
“Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amatlah diperlukan dengan orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati dalam urusan jual beli barang kemas atas talian,” katanya.
Zainuddin turut berkongsi langkah pencegahan yang digariskan PDRM antaranya:
- Jangan mudah percaya tawaran jualan barang kemas yang lebih murah dari pasaran semasa terutama tawaran tersebut dibuat oleh pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
- Sentiasa membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah yang diperakui agar tidak mudah menjadi mangsa.
- Membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun itu pernah terbabit kes penipuan atau tidak sebelum buat pembayaran.
- Berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559/1599 jika mempunyai sebarang keraguan. – Malaysiapost

